Article
| Title/ Headline | MENCARI KAEDAH TANGANI JEREBU |
| Date of Publication | August 13, 2005 (Saturday) |
| Publication Name | Harian Metro |
| Section Placement | No Information |
| Page Placement | 10 |
| Keywords | Jerebu |
| Emedia Byline | Saipul Adli Mohamad |
SECARA
berseloroh, beberapa kaki sembang di kedai kopi meramalkan wad bersalin
di hospital dan klinik di seluruh negara, terutama Lembah Klang akan
sibuk pertengahan tahun depan. Puncanya, jerebu yang melanda Lembah Klang
dan mula merebak ke Pantai Timur
Semenanjung, mengehadkan semua aktiviti di luar rumah atau bangunan.
Lantas, semua aktiviti kini lebih banyak berkisar di dalam rumah
atau bangunan. Itu yang mereka ramal dan tidak semestinya
berlaku. Tetapi, mereka tidak
pernah menjangka jerebu yang melanda negara kita kali ini cukup buruk
hingga Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terpaksa mengisytiharkan
Darurat Jerebu di seluruh Kuala Selangor dan Pelabuhan Klang,
kelmarin. Ini berikutan Indeks Pencemaran Udara (API)
di dua kawasan itu mencecah lebih
500 yang dikategorikan sangat membahayakan kesihatan. Ini adalah kali kedua Darurat Jerebu
diisytiharkan. Kali pertama pada 19
September 1997 membabitkan seluruh Sarawak apabila bacaan API di negeri
itu melebihi 600. Bagaimanapun, ia berbeza dengan darurat yang
diisytiharkan Pesuruhjaya Tinggi
British, Sir Edward Gent pada 16 Jun 1948 yang membabitkan pertembungan
pemerintah dengan Parti Komunis Malaya (PKM) yang melancarkan
pemberontakan bersenjata. Kali ini, ia tidak membabitkan penguatkuasaan
perintah berkurung dan tidak
ada perubahan corak serta sistem pemerintahan kerajaan Selangor, biarpun
Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diarah
mengatur dan mengambil langkah perlu bagi menjamin keamanan. Malah, Perdana Menteri memberi 'lesen' kepada
Bahagian Keselamatan Negara
(BKN) Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengisytiharkan
darurat sama sekiranya bacaan API mencecah 500. Pelbagai langkah diambil termasuk mengadakan
solat hajat di surau dan masjid
di seluruh negara pada malam Jumaat dan selepas solat Jumaat, kelmarin. Umum tahu jerebu teruk di negara ini adalah
angkara kegiatan membakar hutan
secara haram bagi membersihkan tanah di Sumatera dan Kalimantan. Berbanding
menebang, membakar hutan dikatakan kaedah terbaik untuk membersihkan
hutan sekaligus menjadikan tanah lebih subur serta sesuai untuk
bercucuk tanam. Ketua Agensi Kesan Alam Sekitar Wilayah,
Khairul Zaenal, melaporkan kebakaran
hutan dan pembersihan tanah berterusan dilakukan di wilayah Riau
di Sumatera yang bersebelahan Semenanjung Malaysia. Keadaan dijangka bertambah buruk kerana
kebakaran hutan dikesan di sepanjang
80 kilometer di kawasan tanah gambut dekat sempadan Riau dan Sumatera
Utara. "Kami setakat ini sudah mengerahkan 14
pasukan untuk memadam kebakaran itu.
Setiap pasukan mengandungi 15 anggota. Kami tidak cukup anggota kerana
kebakaran terus berlaku. "Ini bukan saja menjadi masalah kepada
Malaysia. Ia juga menjadi masalah
kepada kami kerana jika hutan terbakar, aset kami turut musnah," kata
Zaenal yang cuba mendapatkan bantuan daripada agensi teknologi penyelidikan
di Jakarta untuk membenihkan hujan di kawasan itu. Persoalannya, sampai bila rakyat negara ini
akan menanggung kesengsaraan
akibat tindakan rakan serumpun di seberang itu? Tidak keterlaluan
dikatakan, mereka hanya mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan
semangat Asean dan derita yang terpaksa ditanggung orang lain. Hujung bulan lalu, Menteri Sumber Asli dan
Alam Sekitar, Datuk Seri Adenan
Satem yang dalam lawatan ke Indonesia berkata, beliau sudah mengemukakan
deraf cadangan Malaysia untuk MoU kepada Menteri Perhutanan Indonesia
M S Kaban, dalam satu pertemuan. Sempena lawatan itu, Adenan turut mengunjungi
Menteri Alam Sekitar Indonesia,
Rachmat Witoelar dan membincangkan khusus mengenai kerjasama mengatasi
masalah jerebu lintas sempadan yang sering berlaku dan memberikan
kesan kepada kedua-dua negara. Perjanjian Jerebu Lintas Sempadan Asean itu
antara lain bertujuan menggembleng
kerjasama semua 10 buah negara anggota Asean untuk mengawasi dan
mencegah pencemaran jerebu yang berpunca daripada kebakaran tanah dan hutan. Ia menghendaki setiap negara anggota mengawal
sumber dan kawasan yang berpotensi
terbakar, bertukar maklumat dan teknologi mengatasi masalah jerebu,
membangunkan sistem amaran awal dan memperuntukkan bantuan kerjasama
selain bertindak segera memenuhi permintaan maklumat atau perundingan. Baru-baru ini, Pensyarah di Jabatan Pengajian
Antarabangsa dan Strategik,
Universiti Malaya, Profesor Datuk Mohamad Abu Bakar, menyatakan
masalah jerebu yang melanda negara Asean secara serius sejak awal
tahun 80-an sukar ditangani secara berkesan kerana beberapa masalah dalaman
negara anggota sendiri yang menyukarkan kerjasama, penyeragaman dasar
ataupun polisi dan paling tidak, menyukarkan pelaksanaan keputusan. Ini kerana, negara Asean mempunyai tahap
pembangunan berbeza, umpamanya Malaysia
dengan Indonesia, tahap pembangunan tidak sama, hingga masing-masing
memberi perhatian berbeza kepada isu pembakaran. Dari segi kelompok berkepentingan pula, di
Indonesia kelompok itu ialah orang
perseorangan yang berkepentingan dengan hutan dan hasilnya. Di Malaysia,
isu itu kurang mencabar kerana ia diawasi kerajaan. Jadi, taraf pembangunan tidak sama
menyebabkan masalah penggunaan hutan tidak
sama dan menyebabkan isu jerebu ditangani berbeza. Apabila masalah ini
timbul, negara anggota Asean agak sensitif jika sesuatu polisi diambil
menyentuh kepentingan serta komitmen kenegaraan atau politik mereka. Masalahnya ialah kedua-dua aspek ini
berbangkit. Pertama, ketiadaan rasa
keserantauan yang kukuh menyebabkan negara anggota membiarkan jerebu melanda
negara jiran. Ertinya mereka tidak ada sensitiviti sebagai anggota
serantau atau anggota Asean. Kedua, jika campur tangan diizinkan dalam
bentuk constructive engagement,
apakah batas-batas yang perlu dipatuhi dalam hal berkaitan campur
tangan itu? Jadi, dalam konteks menangani masalah jerebu,
ia menjadi semakin sukar kerana
ia ada hubung kait dengan kerajaan, elit politik, pembuat dasar serta
golongan berkepentingan seperti tauke. Sebab itu, isu ini sentiasa mencabar
semangat Asean setiap kali ia berbangkit sejak awal 80-an Kemudian ia muncul kembali pada 1987, 1994,
1997 dan 1998 tetapi tidak ada
mekanisme pengurusan yang kukuh bagi menangani isu jerebu. Sebaliknya, isu ini sekadar ditangani
mengikut keadaan. Kalau kita bandingkan
jerebu 1997, ia memusnahkan 4.8 hektar tanah dan 10 hari darurat
jerebu disamakan dengan terdedah kepada 20 ke 40 batang rokok sehari,
selain kerugian ekonomi serantau yang mencecah AS$9.3 juta (RM35.34
juta). Berdasarkan keluasan tanah yang terbakar pada
1982 dan 1983 hampir lima juta
hektar di Kalimantan Timur dan pada 1997 kawasan yang terbakar termasuk
di Malaysia ialah lapan juta hektar. Kos pengurusan pula mencecah jutaan ringgit
di samping mengakibatkan kesan
kesihatan, ekonomi dan pelancongan. Sepatutnya dalam keadaan kegawatan
seperti itu, rasa kesetiaan Asean dan komitmen untuk bekerjasama
meningkat. Tetapi yang jelas, kita akan terus berhadapan
dengan jerebu selagi Indonesia
tidak berbuat sesuatu kerana sejak 1982 rakyat negara ini sudah lima
kali menghadapi jerebu yang teruk. Ada pihak lain mahu bersikap lebih positif
dan memandang dari sudut lain.
Kononnya, jerebu ini satu peringatan Tuhan selepas tsunami yang tidak
pernah dikenali rakyat Malaysia berlaku pada Disember 2006. Bagaimanapun, kesimpulannya, kita tidak dapat
lari daripada hakikat bahawa
kerosakan di atas muka bumi ini sebenarnya angkara tangan manusia sendiri! |
|
Date Posted : 2010-01-21
Uploaded by: ezwaniazmi |
|
Coding Sheet
|
Thursday Jun 20, 2013
Time: 2:54 AM
Latest News
-
Green Portal
Green Portal will be launched very soon! This portal emphasizes on providing news of environmental issues.
